KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan kertas siasatan berkaitan pelajar cedera dipukul kerana enggan ponteng sekolah telah dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner, Ahmad Sukarno Mohd Zahari yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya sedang menunggu arahan seterusnya daripada TPR.
“Kita sudah serahkan kepada TPR dan tunggu arahan seterusnya,” pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan seorang pelajar berusia 14 tahun cedera dipukul kerana enggan ponteng sekolah di Segambut Dalam, di sini, Jumaat lepas.
Suspek yang berusia 15 tahun bertindak memukul mangsa menggunakan topi keledar di bahagian muka dan dada.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Rakaman video memaparkan seorang pelajar sebuah sekolah menengah memakai pakaian sukan sekolah sedang memukul rakannya sambil dirakam individu lain. – MalaysiaGazette
















