Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke Siew Fook bercakap pada Sidang Media Pengumuman Khas Sempena Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina 2024 di Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 12 JANUARI 2024.

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) memutuskan untuk tidak lagi menganjurkan majlis pelancaran kempen keselamatan jalan raya pada setiap musim perayaan di peringkat kementerian itu, bermula tahun ini.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan itu dibuat bagi menjimatkan kos penganjuran yang menelan belanja di antara RM100,000 hingga RM200,000 untuk majlis yang diadakan.

Sebaliknya, beliau berkata, perbelanjaan yang dijimatkan itu boleh disalurkan bagi menambah baik kempen keselamatan sedia ada seterusnya memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Mulai tahun ini, tiada lagi majlis pelancaran (kempen keselamatan jalan raya) kerana tanpa majlis pelancaran itu pun, operasi JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) tetap berjalan, operasi bersepadu pun tetap diadakan dan undang-undang tetap dikuatkuasakan.

“Namun, jika ada syarikat swasta nak buat kempen, itu terpulang kepada mereka. Yang saya hentikan ialah bajet kementerian sebab kita akan guna untuk tujuan lebih baik, mungkin berikan topi keledar percuma bernilai RM55 setiap satunya kerana kami dapati masih ada yang menggunakan topi keledar lusuh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan amanat 2024 untuk Kementerian Pengangkutan di sini, hari ini.

Sementara itu ketika menyampaikan amanat pada majlis tersebut, Loke berkata, terdapat empat fokus utama perlu dijayakan oleh kementeriannya sepanjang tahun 2024 ini.

Katanya, fokus utama adalah memperkasa jaringan ketersambungan dan kebolehcapaian sistem pengangkutan awam dan logistik di mana kerajaan telah membelanjakan begitu banyak wang untuk menyediakan infrastruktur dan perkhidmatan pengangkutan awam berkelas antarabangsa untuk memudahkan pergerakan penumpang dan barangan.

Fokus kedua pula kata beliau, iaitu mengoptimumkan budaya penyelenggaraan infrastruktur, perkhidmatan dan rangkaian pengangkutan agar lebih proaktif dalam memastikan ia sentiasa berada di tahap optima melalui penyenggaraan jangkaan.

Untuk fokus ketiga, katanya, ialah ialah peningkatan aspek keselamatan jalan raya bagi melancarkan perjalanan serta memupuk amalan penggunaan jalan raya yang berhemah dan selamat.

Perkara ini sentiasa dititikberatkan oleh Kementerian Pengangkutan dan perhatian akan dilipatgandakan, jelasnya.

“MOT telah menetapkan fokus keempat sebagai memacu intervensi dasar berdasarkan inovasi pendigitalan dan pengukuhan keupayaan penggunaan data.

“Konsep evidence based planning (perancangan berasaskan bukti) dalam perancangan dan pembangunan perlu diserapkan dan dibudayakan di dalam MOT,” tambahnya. – MalaysiaGazette