KUALA LUMPUR – Akta Parlimen Berpenggal Tetap perlu diwujudkan bagi menjamin kestabilan politik negara dan menepis sebarang cubaan menjatuhkan Kerajaan Persekutuan setiap kali ia dibentuk.

Mencadangkan perkara itu, Ketua Angkatan Wanita Parti Amanah Negara Nasional (AWAN) Datuk Aiman Athirah Sabu berkata ia dilihat dapat menjamin kerajaan yang terbentuk setiap kali selepas Pilihan Raya Umum dapat bekerja dengan efektif sehingga habis penggal.

“Kita sepatutnya meneruskan kerja-kerja yang berkait kesejahteraan rakyat dan negara…Tetapi kita tidak akan boleh dapat mencapai perkara itu kalau kita asyik bercakap tentang politik.

Jadi kami mencadangkan supaya diwujudkan undang-undang berpenggal tetap untuk Parlimen… Mungkin ahli Jemaah Menteri boleh bertukar, tetapi kerajaan itu adalah kerajaan sama,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kedua Jawatankuasa Pimpinan dan Pengurusan (JKP) AWAN di sini, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata demikian bagi mengulas dakwaan wujud “langkah” bagi menumbangkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam perkembangan lain, Aiman Athirah berkata AWAN kini dalam proses mendaftar di Sabah dan Sarawak selain lebih 80 kawasan Parlimen seluruh negara dalam usaha melibatkan lebih ramai masyarakat dalam sayap parti itu.

Aiman Athirah berkata AWAN dalam mesyuarat hari ini juga bersetuju melantik dua Naib Ketua baharu iaitu Nor Hayati Bachok dan Mariam Abdul Rashid.

Mesyuarat itu katanya turut bersetuju melantik Sabrina Md Yusoff sebagai Bendahari, Anis Afida Md Azli (Setiausaha Organisasi), Rozita Abdul (Pengarah Pilihan Raya), Nurul Suhadah Shuib (Pengarah Hal Ehwal Syariah) dan Norhayati Bidin (Pengarah Sumber Manusia). – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Dah jadi kerajaan kenalah tumpu dan fokus sepenuhnya buat kerja. Kerajaan nak berpolitik jadah benda lagi? Mana ada “BERPOLITIK” kerajaan PMX sekarang malah dia kata terlalu banyak kejayaan yang memerangsangkan dalam setahun jagong ni. Biarlah pembangkang nak banyak politik sebabnya rakyat dan pelabur diceritakan amat berkeyakinan teramat sangat kekuatan dan majority bersama PMX. Bebudak ni jangan banyak berilusinasi benda-benda tidak pasti hingga menakutkan PH.

Comments are closed.