Mangsa jatuh ketika sedang berjoging di taman perumahan di Bandar Sungai Buaya, pagi tadi.

HULU SELANGOR – Seorang bekas jurulatih Majlis Sukan Negara (MSN) meninggal dunia selepas rebah ketika berjoging di sebuah taman perumahan di Bandar Sungai Buaya, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, individu itu disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9 pagi oleh kakitangan hospital yang memberi bantuan kecemasan.

“Hasil semakan mendapati mangsa merupakan bekas jurulatih ragbi MSN sejak berusia 30 tahun.

“Mangsa mempunyai dua sejarah penyakit iaitu jantung selama dua tahun dan darah tinggi (20 tahun),” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Sebelum kejadian, warga emas berusia 75 tahun itu melakukan senaman bersama komuniti Taman Riadah Dahliasari kira-kira jam 7 pagi.

Mangsa kemudiannya berjalan di atas trek dipercayai di padang permainan taman perumahan itu sebelum rebah dan tidak sedarkan diri kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

Ahmad Faizal juga berkata, siasatan awal polis mendapati, tiada sebarang unsur jenayah pada mangsa.

Katanya lagi, mayat dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast