Pemasangan gril oleh pemilik rumah di Flat Wangsa Maju Seksyen 2 menghalang laluan orang ramai. Foto FB Warga Wilayah

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengeluarkan surat kepada pihak pengurusan Flat Wangsa Maju Seksyen 2 supaya mengambil tindakan kepada penduduk rumah yang memasang gril hingga menghalang laluan pejalan kaki di perumahan tersebut.

Dalam satu kenyataan di sini, DBKL berkata, pihaknya telah mengadakan lawatan di lokasi itu pada 9 Januari lalu dan mendapati terdapat beberapa unit telah melakukan pengubahsuaian yang tidak hanya kepada pemasangan gril tetapi mengubahsuai struktur.

“Mereka diminta mengembalikan semula pengubahsuaian yang telah dilakukan kepada bentuk yang asal kerana perkara ini merupakan bidang kuasa pihak pengurusan selaras dengan Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).

“Di bawah seksyen 59 (1) Akta 757 telah menyatakan kewajipan pihak pengurusan adalah menyenggara dan mengurus dengan sepatutnya bangunan atau tanah yang dicadangkan untuk dipecah bahagi kepada petak-petak dan harta bersama, dan menjaganya dalam keadaan yang baik,” ujar DBKL. – MalaysiaGazette