KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos dikejarkan sekali lagi ke Pusat Perubatan Prince Court, di sini bagi merawat penyakit kanser ataupun radang paru-paru yang dihidapinya lebih dua tahun lalu.
Jamal, 54, dimasukkan ke Prince Court sejak Selasa lalu kerana kanser paru-paru pada tahap empat yang dihadapi menjejaskan kesihatannya, malah kerap sakit dada dan sesak nafas sejak beberapa minggu lalu.
“Kali ini saya tewas, bekalan ubat-ubatan bernilai puluhan ribu ringgit tidak lagi dapat bertahan, saya perlu mendapatkan rawatan intensif daripada doktor di hospital (Prince Court) kali ini.
“Oleh kerana dos ubat-ubatan ini tinggi, setiap kali saya mengambilnya, pasti kepala berpusing dan melayang hingga sukar untuk buat kerja seharian seperti biasa.
“Lebih elok doktor dan jururawat jaga serta pantau keadaan (kanser) lebih rapi kerana sakit di dada semakin teruk sejak kebelakangan ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Pusat Perubatan Prince Court, di sini, hari ini.
Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor itu dimasukkan ke Prince Court di sini untuk menerima rawatan bagi penyakit kanser paru-paru tahap empat pada 14 Disember 2023.
Anak lelakinya, Amin Daniel Jamal memberitahu, kanser yang dihidapi bapanya sejak 2021 itu kini kembali dan menyerang organ dalaman pernafasan.
Sebelum ini, keadaan kesihatan Jamal merosot sejak 17 September 2022 disebabkan beban tugas terlampau seperti menghadiri hampir 20 program dalam masa dua hari.
Susulan kesihatannya yang kian menyusut, Jamal turut memohon maaf kepada semua pihak atas kesulitan dan kekhilafan yang timbul sepanjang mengenali serta berurusan dengan beliau, baik dalam politik mahupun perniagaan.
“Saya mohon maaf kepada mana-mana pihak yang pernah saya buat silap, berhutang dengan sesiapa, harap maafkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette