KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) merancang 62 program yang akan dilaksanakan pada tahun ini sebelum dinilai semula pada Julai depan untuk melihat keberkesanannya.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, program itu hasil sesi perbincangan bersandarkan enam fokus utama iaitu ekonomi dan keusahawanan, pengukuhan tadbir urus dan kemampuan agensi serta anak syarikat, bidang pendidikan, infrastruktur dan teknologi, kepimpinan desa dan tatakelola dan sistem pencapaian.
“Program pemukiman selama tiga hari ini telah dijalankan buat kali kedua tersebut merupakan kesinambungan daripada program tahun lalu.
“Pada tahun lepas, kita telah berjaya melaksanakan 38 program utama yang meliputi isu-isu modal insan, ekonomi, infrastruktur dan keushawanan serta beberapa transformasi lain,” katanya yang Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Hala Tuju Strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menambah, sepanjang tahun ini juga KKDW akan menyantuni kumpulan sasaran yang rata-ratanya berada di luar bandar menerusi pelbagai program yang bersesuaian.
Jelas beliau, ini kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan peruntukan tambahan di luar belanjawan sebanyak RM1 bilion yang bakal diagihkan kepada hampir 15,000 kampung.
Beliau juga memberitahu KKDW juga akan bekerjasama dengan pihak-pihak lain untuk mengelakkan kementerian bekerja secara silo demi melakukan penjimatan dalam perbelanjaan.
“Kami juga ingin mengelakkan pertindihan program terutamanya dalam bidang keushawanan.
“Buat masa ini, kami sedang melakukan perancangan dan penyelarasan agar matlamat asal dapat dicapai dan sebarang pertindihan program dengan agensi lain tidak lagi berlaku pada masa hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette