Alvis Loo berucap pada majlis perasmian Festival Makanan dan Pengiktirafan Pengeluar Kicap Pertama Mencapai Status Bio daripada Malaysia Book Of Records di MyTown, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 13 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) berbangga apabila sebuah syarikat tempatan dari Sabah menjadi pengeluar kicap pertama memperoleh status Pemecut Berasaskan Bio (BBA) dan BioNexus di negara ini.

Presidennya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, YC Bersatu Biotech Sdn Bhd (YCBBSB) telah diiktiraf secara rasmi oleh Malaysia Book of Records, bukan sahaja satu, bahkan dua pencapaian dalam sejarah.

“Sebagai sebuah syarikat yang berasal dari Sabah, pencapai ini bukan saja menjadi kebanggaan Sabah, tetapi kebanggaan Malaysia.

“Dengan memilih produk YCBBSB, pengguna tidak hanya menerima tambahan rasa lazat dalam hidangan mereka.

“Bahkan menyokong sebuah syarikat berdedikasi kepada prinsip kelestarian dan kemajuan teknologi,” katanya dalam ucapan beliau yang dibaca oleh wakilnya Alvis Loo pada Pelancaran Acara Pesta Makanan di Pusat Beli-belah MyTown Cheras, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak dan Pengarah Urusan YCBBSB, Kelvin Han Wei Jian.

BBA adalah program membantu syarikat berasaskan bio, perniagaan mikro dan syarikat-syarikat besar dalam menyebarkan sains, teknologi, automasi serta pelaburan strategik ke dalam operasi perniagaan mereka.

Program ini juga mengenal pasti dan menyediakan fasilitasi untuk mengatasi jurang dalam kemahiran, penggunaan teknologi, sumber kewangan, pematuhan peraturan serta kebolehpasaran produk.

Ini memberi kuasa kepada syarikat-syarikat berasaskan bio dalam sektor pertanian, perindustrian dan penjagaan kesihatan untuk meningkatkan rantaian nilai secara progresif, meningkatkan kecekapan dan daya saing.

Arthur juga berkata, BioNexus adalah status khas yang diberikan kepada syarikat-syarikat berkelayakan yang menjalankan aktiviti bioteknologi.

“Syarikat status BioNexus layak mendapat insentif fiskal, pembiayaan, dan jaminan lain untuk meningkatkan pertumbuhan mereka, termasuk fasilitasi pelaburan dan khidmat nasihat.

“Syarikat status Bionexus dijamin senarai keistimewaan seperti yang ditetapkan dalam bil status BioNexus jaminan.

“Status ini memerlukan insentif cukai 100 peratus sehingga 10 tahun,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast