Dr Mahathir Mohamad
Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Menteri Perpaduan kecewa dan mengutuk keras kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa masyarakat India di Malaysia tidak setia sepenuhnya kepada negara ini.

“Beliau sebagai seorang negarawan yang telah bersama-sama membina negara bangsa ini sepatutnya menjadi seorang ejen perpaduan negara dalam menyebarkan mesej-mesej kebersamaan.

“Saya amat kecewa dan mengutuk keras dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr Mahathir,” kata Datuk Aaron Ago Dagang dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Perdana Menteri itu mendakwa masyarakat India di Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana masih terikat dengan negara asal mereka.

Sebuah portal hari ini melaporkan Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan itu menerusi sesi temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV.

Menurut Aaron, pemimpin politik seharusnya menjadi teladan dalam memupuk nilai perpaduan, muhibah dan semangat kebersamaan.

Beliau berkata, semua lapisan masyarakat termasuk pemimpin politik perlu mengelakkan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum sehingga menimbulkan kebencian.

Aaron berkata, negara ini telah dibina atas dasar kebersamaan melalui kontrak sosial yang telah membawa kemerdekaan.

Dalam menyatupadukan rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama, etnik dan budaya, pemimpin terdahulu telah mendukung wadah integrasi nasional berbanding asimilasi.

“Kini sudah pun lebih 60 tahun merdeka, rakyat masih mengekalkan nilai perpaduan dalam kepelbagaian sebagai resam hidup,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast