Sunday, December 15, 2024
Home Sukan Pemain Portugal sertai JDT musim depan

Pemain Portugal sertai JDT musim depan

Francisco Geraldes. Foto media sosial JDT.

KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan Francisco Geraldes sebagai pemain baru mereka dalam satu ciapan di aplikasi X @OfficialJohor hari ini.

Geraldes yang berusia 28 tahun dan bermain posisi tengah merupakan pemain kelahiran Portugal yang pernah beraksi bersama Sporting CP pada musim 2015 hingga 2020.

Sepanjang tempoh itu, Geraldes juga pernah menyarung jersi AEK Athens secara pinjaman pada tahun 2019 hingga 2020.

Kelab terakhir Geraldes berkhidmat adalah Baniyas yang berpangkalan di Al Shamkha, Abu Dhabi.

Untuk rekod, JDT rangkul kejuaraan Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut di samping raih gelaran ‘quadruple’ bagi tahun 2022 dan 2023.

Sebelum ini, JDT turut mengumumkan pemain import, Jalil Elias yang muncul sebagai pemain termahal dalam skuad Harimau Selatan bagi musim 2024/25.

Menerusi semakan di laman Transfermarket, Elias ketika ini mempunyai nilai pasaran semasa iaitu €3 juta atau RM15 juta.

Pada masa sama, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui kelab itu telah berjaya mengurangkan bajet sebanyak 40 peratus bagi menghadapi saingan musim 2024/25.

JDT telah melepaskan beberapa pemain tempatan dan import dalam usaha untuk mengurangkan perbelanjaan pasukan menjelang saingan musim depan.

Antara yang disahkan meninggalkan kelab termasuk ketua jurulatih Esteban Solari, Rodrigo Barrios, Antonio Mateos, Antonio Gavilan dan Dr Leandro Pinero dari barisan kejurulatihan dan salah seorang pemain import iaitu Fernando Forestieri.

Pemain seperti Aidil Zafuan Abd Radzak, S. Kunanlan, Ahmad Hazwan Bakri, Adam Nor Azlin, Leandro Velazquez dan Diogo Luis Santo turut meninggalkan JDT selepas lama berkhidmat.

Selain itu, lima pemain Harimau Selatan juga akan dipinjamkan ke pasukan luar bagi mendapatkan minit permainan lebih banyak iaitu Oscar Arribas, Syafiq Ahmad, Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Haziq Nadzli.

Mereka telah pun membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk projek bola sepak termasuk insfrastruktur bola sepak dalam tempoh enam hingga tujuh tahun yang lepas.

Bagi mengendalikan pasukan musim depan, JDT melantik semula Hector Bidoglio sebagai ketua jurulatih baharu kelab tersebut bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Esteban Solari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast