IPOH – Lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes melontar ‘molotov cocktail’ sehingga menyebabkan kebakaran kenderaan dan rumah Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham bukan ahli parti politik.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan ke atas lelaki itu dari semua aspek.
Ia termasuk sama ada sama ada motif kejadian itu mempunyai berunsur dendam peribadi atau diupah pihak lain.
“Semuanya masih dalam siasatan polis,” katanya.
Artikel berkaitan:Kebakaran kediaman Koo Ham: Seorang lelaki ditahan di Shah Alam
Kediaman dibakar, Koo Ham percaya berpunca kenyataannya berkaitan Islam
Rumah Koo Ham diserang dengan molotov cocktail – Anthony
Bahkan, katanya, suspek tersebut tidak menetap di luar daerah ini.
Semalam, polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes kebakaran melibatkan kediaman Koo Ham di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar dekat sini Rabu lalu.
Lelaki itu ditahan kira-kira jam 4 pagi di Shah Alam, Selangor.
Suspek direman selama lima hari bermula hari ini sehingga 16 Januari ini. – MalaysiaGazette