SERDANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempersoalkan kesetiaan masyarakat India dan Cina terhadap tanah air ini.
Sambil menyifatkan kenyataan itu sudah tidak relevan, beliau berkata, pendapat itu sepatutnya tidak dikeluarkan oleh seorang perdana menteri yang berkhidmat paling lama di negara ini.
Pada masa sama, Anwar turut menyindir Mahathir yang mempunyai kroni India dan Cina yang ‘setia’ kepada negara selama ini.
“Saya tidak anggap kenyataan Tun Dr Mahathir itu relevan dan tidak bertanggungjawab daripada mantan perdana menteri sekian lama dan kemudian menghina mana-mana kaum sama ada majoriti atau minoriti
“Dia memang terkenal Melayu baginya malas melainkan dia, India dan Cina dianggap kurang setia kecuali beberapa kroni dia
“Saya ingat kenyataan itu kita bantah keras sangat tidak bertanggungjawab.
“Bagi saya semua rakyat adalah setia dan kita harus hormati dan kita harus mendakap keseluruhan kekuatan rakyat dan tuju soal pokok,” katanya selepas melancarkan Majlis AI Untuk Rakyat di Universiti Putra Malaysia, di sini, hari ini.
AI Untuk Rakyat adalah program pembelajaran kendiri dalam talian, direka untuk meningkatkan pemahaman dan kesedaran orang ramai terhadap AI.
Sebelum ini, Mahathir dilapor mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih ‘terikat’ dengan negara asal mereka.
Pandangan itu disuarakan beliau dalam temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV.
Mengulas lanjut, Anwar mendakwa Mahathir cuba untuk mengalih usaha serius kerajaan membanteras rasuah dan mengamalkan tatakelola bersih selain memfokuskan kepada digital dan peralihan tenaga demi kebaikan rakyat. – MalaysiaGazette
Bagaimana kenyataan Mahathir kata India dan Cina tidak setia sepenuhnya kepada Malaysia boleh Anwar Ibrahim merujuknya sebagai mengalih perhatian kerajaan membenteras rasuah? Adakah kerananya perkerja SPRM terus berhenti atau tidak fokus sekarang? Tapi boleh pujilah sebab ayat tu cantik.