KUALA LUMPUR – Masjid Sri Sendayan, yang dibuka pada tahun 2019, telah dinobatkan sebagai “Global Outstanding Mosque of the Year” pada World Islamic Tourism & Trade Awards (WITA) 2026, sekali gus meletakkan mercu tanda Negeri Sembilan ini di pentas antarabangsa sebagai contoh inspirasi bagaimana seni bina, keimanan dan komuniti dapat disatukan dalam sebuah institusi masjid.
Dianjurkan oleh Malaysia Tourism Agency Association (MATA) bersama Jawatankuasa Penganjur WITA, anugerah ini mengiktiraf kecemerlangan Masjid Sri Sendayan dalam seni bina Islam, pembangunan komuniti, pendidikan agama dan penglibatan pengunjung, di samping sumbangannya dalam mengetengahkan nilai-nilai Islam serta pelancongan mesra Muslim di peringkat antarabangsa.
Anugerah tersebut disampaikan hari ini kepada Pengerusi Ahli Jawatankuasa Masjid Sri Sendayan, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, di World Trade Centre Kuala Lumpur.
Rashid yang menyelia Masjid Sri Sendayan dari peringkat konsep hingga siap sepenuhnya, turut memegang tanggungjawab pengurusan hal ehwal masjid bagi memastikan komitmen tertinggi terhadap keindahan dan hala-tuju masjid ini.
Masjid Sri Sendayan mengambil inspirasi daripada keagungan seni bina Abbasiyah yang diperkaya dengan elemen-elemen era Mamluk.
Ia tersergam megah di Bandar Sri Sendayan, masjid berkapasiti 5,000 jemaah ini tampil memukau dengan dua menara yang menjulang tinggi, kubah utama yang gah, gerbang-gerbang monumental serta laman simetri yang luas.
Menjelang senja, limpahan cahaya keemasan menyelubungi masjid, menjadikannya suatu pemandangan yang memukau dan mendamaikan.
Keindahan seni binanya jauh melangkaui keindahan visual – saujana mata memandang, taman landskap dan elemen air yang menenangkan bergabung untuk mewujudkan keadaan mengundang ketenangan, muhasabah serta sehati sejiwa dengan suasana.
Dibangunkan melalui prinsip Islam wakaf oleh Rashid, Masjid Sri Sendayan kini menjadi antara mercu tanda Islam paling dikenali di Negeri Sembilan serta destinasi bagi pengunjung dari Malaysia dan luar negara.
Berteraskan kefahaman Islam bahawa Allah mencintai keindahan, Masjid Sri Sendayan tidak dibayangkan semata-mata sebagai sebuah bangunan yang indah dan megah, tetapi sebagai sebuah ruang di mana keindahan seni bina membawa manusia lebih dekat pada penghayatan, keimanan dan kerohanian yang lebih mendalam terhadap kebesaran Ilahi.
Visi Abdul Rashid terhadap masjid ini dibentuk oleh penghargaan mendalam terhadap nilai estetika yang diilhamkan oleh kegemilangan tamadun Islam sepanjang berabad-abad. Kecemerlangan seni binanya terserlah melalui setiap perincian dan mutu pertukangan.
Bahkan beliau sendiri terlibat secara peribadi sepanjang proses reka bentuk, daripada hala tuju seni bina keseluruhan, reka bentuk dalaman dan perincian sehinggalah kepada mutu kemasan, dengan penekanan terhadap pencapaian standard tertinggi pada setiap peringkat.
Kepakaran tempatan dan antarabangsa digunakan dalam menghasilkan senibina ini, dengan seni pertukangan halus serta tradisi reka bentuk Islam melengkapi keagungan bangunan itu sendiri.
Hasilnya ialah sebuah masjid yang dibangunkan bukan sekadar sebagai mercu tanda seni bina, tetapi sebagai tempat ibadah, komuniti dan renungan yang akan terus kekal – tempat di mana keindahan memenuhi tujuan yang lebih luhur dan seni bina menjadi sebahagian daripada sebuah legasi yang hidup.
“Sejak awal, kami mahu Masjid Sri Sendayan berkhidmat untuk agama dan juga komuniti. Hari ini, kira-kira 50 peratus aktiviti kami berteraskan keagamaan dan 50 peratus lagi memberi tumpuan kepada komuniti: menggabungkan ibadah dan pembelajaran agama dengan program-program yang membina ilmu, kemahiran serta hubungan yang lebih erat dalam kalangan masyarakat.
“Kami juga percaya masjid mempunyai peranan dalam mempersiapkan masyarakat untuk menghadapi masa hadapan. Pembelajaran perlu berkembang seiring dengan perubahan dunia di sekeliling kita. Atas sebab itu, kami turut memperkenalkan kemahiran dan pengetahuan kontemporari, termasuk pemahaman mengenai kecerdasan buatan atau AI. Masjid seharusnya menjadi tempat di mana iman diperkukuh, ilmu berkembang dan masyarakat bergerak maju bersama-sama,” kata Abdul Rashid.
Dewan serbaguna, perpustakaan serta pelbagai kemudahan berorientasikan komuniti turut menjadi sebahagian daripada keseluruhan kompleks masjid, mencerminkan peranan masjid bukan sekadar sebagai tempat menunaikan ibadah, tetapi juga sebagai pusat ilmu, ihsan, hubungan sesama insan dan rasa kebersamaan.
Inilah yang menjadikan Masjid Sri Sendayan sebuah masjid yang benar-benar hidup.
Dalam kenyataan rasminya, WITA menyifatkan Masjid Sri Sendayan sebagai telah menjadi “lebih daripada sekadar tempat ibadah”, dengan mengetengahkan peranannya sebagai simbol keharmonian, ihsan dan kerohanian yang mengalu-alukan jemaah serta pengunjung dari Malaysia dan seluruh dunia. – MalaysiaGazette
















