Zulkarnain Mahdar

KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) akan mengaktifkan unit untuk membuat laporan polis bagi mengesan penyebar berita fitnah yang kembali aktif di Sabah.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, kini berita fitnah mula mensasarkan anak kepada Ketua Menteri Sabah, Mohd Reza Hajiji yang dikaitkan dengan kartel dadah.

“Fitnah oleh jentera pembangkang di Sabah ke atas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor termasuk ahli keluarga beliau dilihat semakin aktif dan sangat keterlaluan.

“Tindakan serangan fitnah sebelum ini hanya menyasarkan Hajiji tetapi fitnah kini merebak pula kepada ahli keluarga Ketua Menteri Sabah itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahad lalu, media melaporkan anak Ketua Menteri Sabah menafikan menjadi buruan polis kerana terbabit dengan kegiatan dadah terbesar di negeri itu.

Berikutan itu, Mohd Reza membuat laporan berhubung tersebarnya laporan mengaitkan dirinya dengan kegiatan dadah itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran, Sabah, Ahad lalu.

Sebelum ini, tular satu rantaian mesej melalui aplikasi WhatsApp mendakwa anak sulung Ketua Menteri Sabah itu turut terbabit dalam kartel dadah di Sabah yang ditahan dan disiasat polis, baru-baru ini.

Zulkarnain berkata, pihaknya masih percaya sistem perundangan dan pencegahan fitnah di Malaysia masih efisien.

“Kami berharap pihak polis, SKMM dan Jabatan Peguam Negara segera membawa penyebar fitnah ke muka pengadilan,” katanya.

Zulkarnain tidak menolak kemungkinan fitnah itu didalangi pembangkang di Sabah yang semakin terdesak untuk mewujudkan perasaan benci rakyat terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH).

“Hampir semua penyebar fitnah agak cenderung kepada Parti Warisan dan UMNO di Sabah walaupun perkara ini mungkin tidak disedari oleh pimpinan tertinggi kedua parti itu.

“Fitnah terkini jelas menunjukkan jentera pembangkang semakin terdesak mencari isu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette