Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Kementerian Dalam Negeri Dan Kementerian Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ke-10 di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 16 JANUARI 2024.

PUTRAJAYA – Kerajaan Malaysia akan mengadakan lawatan dan menyemak semula Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan 15 negara yang membekalkan tenaga kerja asing kepada negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, antara perkara yang akan diteliti semula termasuk kos, syarat kontrak dan kesihatan pekerja asing.

“MoU ini dinamik, bukan statik, dan hari ini kita setuju untuk melawat semula (15 negara) dan ada keperluan untuk meneliti butiran perjanjian dengan negara sumber.

“Dari lima sektor, dua sektor masih ada lagi defisit, keperluan tinggi, yang masih kurang (pekerja asing) iaitu Perladangan dan Pertanian,” katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat KDN, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ke-10.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Steven Sim; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Kerja Raya, Datuk Alexander Nanta Linggi.

Tambahnya, ketika ini hanya tiga negara teratas yang menjadi pembekal pekerja asing iaitu Bangladesh, Indonesia dan Nepal.

“Ini mewakili hampir 77 peratus dari angka sekarang, 2 juta pekerja asing yang kita keluarkan pas lawatan kerja sementara.

“Ada beberapa lagi negara sumber yang membekalkan tenaga kerja kepada 5 sektor penting.

“Sektor perkhidmatan kita sudah pun melebihi maknanya cukup, perkilangan cukup, pembinaan dari segi rekod data kita menunjukkan angkanya itu antara permohonan dengan kemasukan itu cukup,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast