MADRID – Penunggang motosikal Sepanyol, Carles Falcon meninggal dunia selepas terbabas semasa menyertai peringkat kedua Dakar Rally, kata pengurusan perlumbaan dan pasukan Twintrail Racing pada Isnin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Beliau mengalami kecederaan serius selepas motosikalnya terbabas pada kelajuan 80 kilometer sejam ketika menyertai perlumbaan itu di Arab Saudi pada 7 Januari.
Menurut laporan media Sepanyol, Falcon telah diberikan rawatan di lokasi kejadian sebelum dihantar ke hospital di Al Duwadimi.
“Dukacita dengan pemergian pelumba Sepanyol Carles Falcon, Takziah kepada keluarga dan rakan-rakannya,” kata pengurus perlumbaan dalam satu kenyataan.
Falcon pernah menyertai Dakar Rally 2022 dan dianggap sebagai pelumba yang berpengalaman. – Bernama-dpa