Raja Shahyan Raja Abdullah diiringi anggota polis ketika tiba di Mahkamah Majistret Ampang.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas didenda sebanyak RM2,500 selepas mengaku salah atas pertuduhan menipu tentang penahanan beg bagasi milik seorang lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tahun lalu.

Tertuduh, Raja Shahyan Raja Abdullah, 82, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top di Mahkamah Majistret Ampang, hari ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh merupakan bekas juruteknik sebuah syarikat penerbangan tempatan didakwa telah menipu seorang lelaki berusia 59 tahun bahawa beg bagasinya ditahan di KLIA.

Perbuatan itu mendorong mangsa untuk menyerahkan wang berjumlah RM2,700 sedangkan mangsa tidak akan berbuat demikian jika tidak diperdayakan.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah hotel di Ampang, antara jam 1.40 petang pada 19 Julai 2023 hingga jam 3.39 petang, 24 Julai tahun yang sama.

Susulan itu, Raja Shahyan didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan Raja Shahyan dipenjara sebulan, sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda itu.

Terdahulu Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Izleen Ismail yang mewakili tertuduh merayu agar tertuduh dikenakan denda yang minimum memandangkan faktor usia tertuduh selain anak guamnya itu menghidapi penyakit prostat dan batu karang.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Norhidayah Abdullah Sani memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh.

Mahkamah turut memerintahkan Raja Shahyan dipenjara sebulan, sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda itu.- MalaysiaGazette