Dr. Sathia Prakash Nadarajan

HULU SELANGOR – Dua adik-beradik yang dilaporkan hilang di surau perumahan Taman Bernam Jaya di sini perlu diberikan rawatan segera termasuk khidmat kaunseling dan psikologi.

Penyelaras Parlimen Hulu Selangor, Dr N. Sathia Prakash sendiri sedia memberi bantuan perubatan itu untuk menstabilkan emosi remaja berusia 16 dan 17 tahun terbabit.

“Perkara yang menimpa keluarga ini membabitkan kestabilan psikososial dan kita tidak tahu bagaimana situasi dihadapi mereka sekarang.

“Minggu lalu saya sepatutnya ziarah mereka namun terpaksa ditangguhkan kerana keadaan tidak mengizinkan.

“Namun kita cuba sedaya-upaya untuk membantu keluarga ini termasuk menawarkan bantuan kaunseling demi kebaikan kedua-dua anak,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Taman Bernam Jaya hari ini.

Terdahulu, Dr Sathia cuba menziarahi keluarga mangsa untuk menyalurkan bantuan namun gagal kerana mereka tiada di rumah dan dipanggil ke Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor untuk memberi keterangan.

Sebelum ini, dua remaja lelaki itu dilaporkan hilang selepas solat subuh di surau perumahan Taman Bernam Jaya, Hulu Bernam di sini pada 1 Januari lalu.

Remaja berusia 17 tahun yang lebih dikenali dengan panggil Along ditemukan dalam keadaan tidak bermaya di Stesen LRT Pasar Seni, Kuala Lumpur pada 11 Januari lalu.

Manakala adiknya atau Angah pula ditemukan seorang gelandangan dan dibawa ke Balai Polis Hulu Bernam pukul 10.48 pagi tadi.

Sebelum ini, Dr Sathia turut menguar-uarkan kehilangan kedua-dua beradik itu di dalam laman media sosial termasuk akaun Facebook miliknya.

Selain itu, pihaknya sedia membantu ibu bapa mangsa yang difahamkan turus terjejas dan mengalami tekanan.

“Saya rasa mereka memang ada isu dari segi pendapatan kita cuba bantu semampu boleh. Saya rasa zakat juga boleh bantu
paling penting sebagai seorang doktor adalah psikososial mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Along, Angah selamat – Ibu mangsa