Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Penetapan tarif air memerlukan situasi ‘menang-menang’ antara kerajaan dan rakyat.

Justeru Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) perlu menarik balik keputusan menaikkan tarif air sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu seperti yang diumumkan baru-baru ini, kata Speaker Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), V. Prabagaran.

Menurut beliau, SPAN sepatutnya memberi keutamaan dan fokus untuk menaik taraf dan menyelenggara paip secara komprehensif terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk menaikkan tarif air.

“Gerakan melahirkan rasa kecewa dan terkejut dengan pelaksanaan tersebut kerana ia sudah jelas membelakangi janji-jani PH-BN yang ingin membela nasib rakyat.

“Selain itu, jalan penyelesaian bagi peningkatan kos operasi tidak boleh dijadikan sebagai alasan oleh SPAN yang kini berada di bawah Kementerian Peralihan Tenaga Dan Daya Guna Awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Prabagaran berkata, sepatutnya dalam keadaan sekarang, kerajaan PH-BN mencadangkan lebih banyak insentif untuk mengurangkan kos sara hidup kerana itu yang dijanjikan sebelum mengambil alih pentadbiran pusat bukan mengenakan pelbagai kos tambahan kepada rakyat.

Katanya, jika ditambah dengan kenaikan kadar cukai terhadap barangan bernilai rendah, sektor perubatan tradisional dan komplementari serta lain-lain walaupun dilihat kecil untuk tarif air, ia juga boleh menyebabkan kenaikan inflasi serta menambahkan beban kewangan isi rumah yang sudah terbeban di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut data, sepanjang 39,895 kilometer (km) daripada 135,975 km atau 29.3 peratus paip lama jenis simen asbestos di Semenanjung Malaysia dan Labuan telah melepasi jangka hayat operasi reka bentuk, katanya.

V. Prabagaran

“Oleh itu, Gerakan berharap SPAN memberi fokus kepada penggantian paip lama itu terlebih dahulu kerana punca utama kenaikan kadar air tidak terhasil (NRW) yang tinggi adalah disebabkan oleh kebocoran paip.

“Malah kadar NRW 37.2 peratus pada 2022 dengan jumlah kerugian dianggarkan RM2 billion (7,084 juta liter) sehari. Jadi amatlah perlu untuk kerajaan PH-BN menyediakan perkhidmatan yang baik supaya rakyat tidak terasa terbeban,” ujarnya. – MalaysiaGazette