KUALA LUMPUR – Seorang remaja berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang di Taman Bernam Jaya dekat sini ditemui seorang gelandangan di sebuah hotel terbiar berhampiran Pasar Seni di sini hari ini.
Remaja berkenaan ditemui pukul 10.48 pagi.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, remaja itu sebelum ini dipercayai tinggal bersama seorang lelaki di sebuah hotel di Jalan Petaling selama sembilan hari.
“Remaja itu kemudiannya melarikan dan kemudiannya tinggal seorang diri di hotel terbiar yang terletak berhampiran Pasar Seni selama enam hari.
“Kemudian remaja itu meminta bantuan daripada lelaki gelandangan berusia 28 tahun itu untuk menghantarnya ke Balai Polis Bernam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang daripada dua beradik lelaki yang dilaporkan hilang di Taman Bernam Jaya, Hulu Bernam, Selangor pada 1 Januari lalu ditemukan dalam keadaan tidak bermaya di Stesen LRT Pasar Seni di sini pada 11 Januari lalu.
Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut daripada seorang lelaki berusia 17 tahun pada 12 Januari lalu.
Jelasnya, mangsa mendakwa dirinya dicabul dan diperlakukan perkara tidak senonoh oleh seorang individu di sebuah hotel di Jalan Petaling, Kuala Lumpur.
Ahmad Faizal juga berkata, semakan mendapati remaja tersebut salah seorang daripada individu yang dilaporkan hilang bersangkutan dengan Ulu Bernam Repot 6/2024.
“Polis Hulu Selangor masih meneruskan siasatan untuk mengenal pasti keadaan remaja (orang hilang) yang baru ditemui ini. Sebarang maklumat mengenai penemuan remaja ini daripada orang ramai amat dialu-alukan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette