KUANTAN – Kemasukan semula Kapal Diraja (KD) Sri Sabah dan KD Sri Sarawak ke dalam armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) merupakan langkah bagi menangani pelbagai cabaran semasa.
Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Rahman Ayob berkata, ia pendekatan interim sementara menunggu aset baharu dalam aspek operasi di lapangan yang semakin dinamik.
”Inisiatif ini bukanlah sebahagian dari pelan pembangunan aset jangka panjang sepertimana yang telah sedia maklum kepada umum dalam pelan transformasi yang memfokuskan kepada perolehan aset-aset baharu.
”KD Sri Sabah Sabah dan KD Sri Sarawak telah selesai menjalani rutin pasang pulih secara intensif melibatkan kerja-kerja replating dan repowering serta pemasangan beberapa peralatan yang lebih moden.
”Ini bagi menjamin pengoperasian yang lebih berkesan dan selamat selain memenuhi keperluan quality of life warga kapal,” katanya lagi.
Beliau berucap demikian sempena Upacara Penamaan dan Pentauliahan Patrol Craft (PC) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu Kapal Diraja (KD) Sri Sabah dan KD Sri Sarawak telah disempurnakan di Jeti Pangkalan TLDM Tanjung Gelang di sini hari ini.
Menurut Abdul Rahman, kejayaan membaik pulih kedua-dua kapal yang berusia melebihi 50 tahun itu amat dibanggakan hasil inisiatif warga TLDM dan limbungan tempatan iaitu MSET Shipbuilding Corporation Sdn Bhd di Kuala Terengganu ini.
Ia sekali gus membuktikan industri pertahanan maritim tempatan mempunyai keupayaan dan berpotensi untuk lebih maju serta berdaya saing.
Sebagai rekod, kedua-dua kapal tersebut pernah menjadi aset TLDM sejak tahun 1967.
Namun ia telah diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) semasa penubuhan awal agensi tersebut pada 2006.
”Hasil pindah milik, kedua-dua aset tersebut memasuki inventori TLDM pada 10 Jun 2020. Berdasarkan perancangan, kedua-dua kapal ditempatkan di perairan Sabah Timur bagi keperluan operasi maritim di kawasan perairan sempit dan cetek.
“Selain itu, ia juga akan digunakan sebagai platform latihan bagi warga TLDM,” tambahnya.
Buat sementara waktu, kedua-dua kapal akan ditempatkan di Markas Wilayah Laut 1, Kuantan.- MalaysiaGazette