Penemuan rangka tidak sempurna yang dikatakan milik Bella dijumpai dekat rumah kosong kawasan semak,Tongkang Pechah,Batu Pahat.

BATU PAHAT – Rangka mayat seorang wanita yang ditemui di kawasan hutan berhampiran rumah terbiar, Kampung Batu 7 dekat Tongkang Pechah di sini malam ini belum dapat disahkan sebagai Bella.

Ia hanya boleh disahkan melalui ujian DNA, kata Ketua Polis Johor, Datuk Kamarol Zaman Mamat.

Sebelum itu, Bella atau nama sebenar Mila Sharmilah Samsusah, 32, yang juga seorang ibu tunggal hilang sejak sebulan lalu.

Bagaimanapun Kamarol Zaman berkata, keputusan ujian DNA mengambil masa seminggu sehingga sebulan.

Pihak polis, jelasnya, tidak boleh mengesahkan penemuan itu sama ada adalah Bella atau sebaliknya memandangkan rangka yang ditemui dalam keadaan tidak sempurna.

“Saya tidak boleh menyatakan itu adalah Bella sementara kita menunggu laporan pergigian bagi memastikan rangka yang dijumpai ini adalah mangsa (Bella),” katanya ditemui ketika melakukan tinjauan di lokasi tempat seorang mayat wanita ditemui di sini malam ini.

Pada 14 Disember 2023, Bella dikatakan mahu pergi ke dobi di Simpang Rantai, Batu Pahat dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa keluar ke dobi bersama seorang lelaki.

Manakala pada 15 Disember 2023 dikatakan kakak Bella membuat panggilan melalui WhatsApp kepada mangsa tetapi gagal dihubungi selepas diberitahu Bella telah ditinggalkan tepi jalan selepas bergaduh dengan teman lelakinya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Keluarga Bella yakin kehilangan Bella terjawab tak lama lagi