Norisham Samsuah

JOHOR BAHRU – Ahli keluarga Mila Sharmila Samsusah, 32, atau Bella yakin mereka semakin hampir kepada jawapan kehilangan wanita itu.

Kakaknya, Norisham Samsuah, 36, berkata, seluruh keluarga redha dengan sebarang kemungkinan.

Tetapi sehingga kini mereka yakin Bella masih hidup.

“Baliklah Bella, emak, anak-anak semua cari dan rindukan kau,’’ luah Norisham.

Bella yang hilang sejak 14 Disember lalu meninggalkan dua anaknya, masing-masing berusia dua dan empat tahun.

Norisham mengakui keluarga mereka sudah buntu menjejaki Bella.

“Contoh ada orang nasihat kami pergi kawasan kelapa sawit, kami pergi. Sebab kami tak tahu nak buat apa lagi.

“Kita ada dapat panggilan orang awam call kata nampak Bella di Ayer Bembam, Melaka, saya rancang nak ke Melaka untuk cari,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambahnya, sejak kehilangan Bella tersebar, pelbagai pihak telah menghubungi dia sekeluarga untuk menawarkan diri untuk membantu mencari Bella dengan pelbagai kaedah.

“Pada kami, apa yang penting sekarang ini, kembalikan Bella -sama ada hidup atau mati,” katanya yang mengharapkan doa orang ramai supaya permudahkan usaha mereka mengesan Bella.

Apatah lagi, ujarnya, ibu mereka semakin hari semakin uzur dan anak-anak saudaranya amat merindui ibu mereka.

Bella dikatakan keluar bersama teman lelakinya ke kedai dobi kira-kira satu kilometer dari rumahnya di Taman Soga, Batu Pahat.

Kehilangan Bella hanya disedari pada keesokkan hari apabila kakaknya gagal menghubungi Bella.-MalaysiaGazette