NIBONG TEBAL – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menyerbu sebuah pasar raya yang didapati menyimpan minyak masak subsidi melebihi had dibenarkan di kawasan perindustrian Valdor di sini hari ini.
Serbuan pukul 4 petang itu turut membawa kepada pendedahan pemilik berusia 30-an itu mengaut keuntungan dengan menjual minyak masak itu kepada warga asing antara harga RM3 hingga RM3.50 satu paket.
Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan berkata, hasil pemeriksaan menemui sebanyak 4,480 paket minyak masak bersubsidi dengan anggaran berat 4.5 tan.
Kesemua minyak masak itu ditemui di bahagian stor, ruangan jualan serta bawah kaunter pembayaran.
“Ikut lesen runcit minyak masak yang dibenarkan disimpan adalah sebanyak 1,000 kilogram (kg) namun terdapat lebihan simpanan sebanyak 3,480 kg.
“Lelaki tempatan itu memberi alasan menyimpan bekalan lebihan kerana tidak sempat menambah stok secara kerap susulan bekalan sering tidak mencukupi.
“Soal siasat lanjut mendapati minyak masak mendapat permintaan tinggi di pasar raya itu susulan terletak berhampiran asrama pekerja asing selain ia dijual pada harga tinggi iaitu antara RM3 hingga RM3.50,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini hari ini.
Tambah Jegan, pasar raya itu menjual sepenuhnya bekalan itu kepada warga asing.
“Semakan turut mendapati pemilik pasar raya itu mendapat bekalan daripada pembekal di sekitar Pulau Pinang. Kita turut menyita lebihan 3,480 kilogram minyak masak bersama beberapa dokumen bagi siasatan lanjut. Anggaran nilai keseluruhan rampasan adalah berjumlah RM8,700,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. – MalaysiaGazette