Lokasi rumah kosong di mana rangka manusia tidak sempurna ditemui.

BATU PAHAT – Tiga lelaki direman bagi membantu siasatan kes penemuan rangka manusia dalam sebuah rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata perintah reman dikeluarkan terhadap ketiga-tiga suspek sehingga 27 Januari ini.

Menurut beliau, perintah reman terhadap semua suspek berusia 24 hingga 39 tahun itu bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dijalankan.

Dalam satu kenyataan yang dipetik Buletin Utama hari ini, Ismail juga memaklumkan bahawa, bedah siasat ke atas rangka tidak sempurna itu sudah dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, pagi tadi

“Sampel patologi daripada Jabatan Forensik HSI juga sudah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk perbandingan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti identiti si mati,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman, berkata, pihaknya akan menjalankan ujian DNA terhadap sampel diambil dari lokasi penemuan rangka itu secepat mungkin.

Katanya, sampel DNA turut diambil daripada ibu dan kakak Bella untuk dianalisa.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada rangka ditemui itu adalah Bella yang hilang sejak lebih sebulan lalu atau individu lain.

Difahamkan, ketiga-tiga suspek yang ditahan termasuk teman lelaki dan bapa saudara teman lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penemuan rangka itu. – MalaysiaGazette