Foto: Fb Korea Football Team

DOHA – Penjaga gol nombor satu Korea Selatan, Kim Seung-gyu terlepas peluang untuk beraksi pada baki perlawanan Piala Asia 2023 selepas mengalami kecederaan Ligamen Krusiat Anterior (ACL) yang terkoyak semasa sesi latihan pada Khamis di sini.

Perkara itu disahkan Persatuan Bolasepak Korea semalam.

Kim, 33, akan terlepas baki dua lagi perlawanan Kumpulan E menentang Jordan hari ini dan Malaysia pada 25 Jan, selepas membantu skuad Taeguk Warriors itu menentang Bahrain 3-1 pada aksi pembukaan, Isnin lepas.

Pemain Al-Shabab itu menjadi pilihan tetap sejak bekas pengurus Paulo Bento mengambil alih pasukan itu pada 2018 sebelum mendapat kepercayaan jurulatih baharu Jurgen Klinsmann, beraksi dalam 10 daripada 12 perlawanan sejak jurulatih dari Jerman itu mengemudi pasukan pada Februari tahun lepas.

“Saya sangat sedih kerana beliau merupakan penjaga gol kelas dunia, beliau pemain nombor satu kami dan bermain dengan baik sepanjang tahun dan seluruh kerjayanya. Perkara ini juga amat sedih buat beliau, kami dan seluruh pasukan, tetapi itu sebahagian daripada bola sepak … anda perlu menghadapinya dan beliau akan kembali kuat nanti.

“Beliau akan menjalani pembedahan apabila pulang ke Korea. Dalam kejohanan, beberapa perkara akan berlaku (seperti) pemain akan mengalami kecederaan dan kita perlu mencari penyelesaian, kemudian cara untuk membetulkan keadaan dan teruskan langkah. Kami mendoakan beliau segera sembuh,” kata Klinsmann di sini.

Kim telah mempamerkan prestasi meyakinkan dalam tujuh kemenangan berturut-turut di bawah kendalian Klinsmann dengan pasukan kebangsaan bermula September tahun lepas, hanya bolos satu gol dalam tujuh perlawanan, iaitu ketika perlawanan Isnin lepas.

Jo Hyeon-woo dan Song Bum-keun ialah dua penjaga gol alternatif Klinsmann bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Kim.

Jo merupakan bekas pemain nombor satu Korea Selatan, menjadi penjaga gol pasukan pada aksi Piala Dunia 2018, sebelum diturunkan di bangku simpanan di bawah kendalian Bento dan Klinsmann, manakala Song pula, tidak pernah beraksi dalam perlawanan di bawah Klinsmann.

Setakat hari ini, Korea Selatan, juara dua kali berada di tempat kedua dalam Kumpulan E, berkongsi tiga mata dengan Jordan yang mendahului senarai, hanya dibezakan dengan jaringan gol. – Bernama