Shahidan Syed Saddiq hijrah UMNO kuat veteran pengampunan BN PH PRN
Mustapha Yaakub

KUALA LUMPUR – Veteran UMNO hairan apabila Tun Dr Mahathir Mohamad membangkitkan tentang isu perpecahan orang Melayu sedangkan bekas Perdana Menteri itu sendiri menjadi punca kaum berkenaan tidak bersatu.

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, Dr Mahathir cuba mengaitkan apa yang berlaku di Palestin dengan nasib orang Melayu sekiranya mereka kehilangan kuasa.

“Sebenarnya Dr Mahathir merapu dan mengigau di siang hari. Melayu sebagai satu bangsa tidak mungkin akan hilang di bumi ini.

“Melayu tidak akan hilang dunia selagi ada bangsa yang mengaku mereka orang Melayu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam yang mendakwa orang Melayu akan lenyap dalam tempoh 10 tahun akan datang jika mereka tidak bersatu sekarang.

Mustapha turut mendakwa, kenyataan Dr Mahathir itu bermotifkan politik dendam dan cuba menakut-nakutkan orang Melayu.

Katanya, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu mahu orang Melayu belajar dari sejarah namun beliau sendiri tidak berbuat demikian.

“Beliau hanya belajar sejarah Si Kitul sebagai pengkhianat. Sebab itu beliau menjadi pengkhianat,” jelasnya.

Mustapha mendakwa, kenyataan tersebut juga mungkin taktik untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan anak-anaknya.

“Beliau sedar dirinya semakin tertekan dan tidak relevan. Jadi supaya beliau dilihat relevan maka dibangkitkan cerita Melayu hilang kuasa,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Dalam 10 tahun bangsa Melayu akan hilang – Mahathir