KUALA LUMPUR – Dua beranak maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk lori di di Jalam Banting-Dengkil Sungai Manggis, Kuala Langat.
Kejadian itu dilaporkan lebih kurang 7.03 pagi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, berdasarkan maklumat awal yang diterima, kemalangan berpunca daripada sebuah lori yang merempuh empat kereta.
Bertindak atas panggilan orang awam, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting dan BBP Telok Panglima dengan dua jentera telah bergegas ke lokasi nahas tersebut.
Dalam tragedi itu, lori tanah berkenaan menghempap sebuah kereta yang dinaiki oleh dua wanita berumur 20an dan 40an, serta seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun.
Difahamkan ketiga-tiganya dipercayai satu keluarga.
Mangsa yang meninggal dunia berusia 40-an dan 10 setahun manakala seorang lagi cedera di bahagian kaki dan dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut.
“Mayat kedua-dua mangsa nahas telah dihantar ke hospital Banting untuk rawatan lanjut serta proses bedah siasat,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette