Fahmi berkongsi foto di media sosial beliau mendengar luahan Nazirul.

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil akan mengumumkan pakej khas internet kepada semua penghantar e-hailing dengan diskaun istimewa esok.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat selepas bertemu dan berbincang dengan semua ketua pegawai eksekutif syarikat telefon hari ini.

“Kerajaan memahami kesusahan abang-abang riders kita yang bertungkus lumus menghantar makanan dan bungkusan untuk semua, lebih-lebih lagi di bawah terik matahari dan hujan lebat.

“Ini adalah satu kemenangan kecil buat semua pekerja dalam industri p-hailing. Terima kasih riders kerana telah berkhidmat untuk kami semua selama ini.

“Kerajaan Madani mendengar keluhan anda dan kami harap usaha ini sedikit sebanyak dapat meringankan kesulitan dan membantu anda dalam menjalankan tugas setiap hari,” katanya dalam kenyataan.

Fahmi berbincang dengan CEO telco bagi menyediakan pakej khas internet kepada penghantar e-hailing.

Menurutnya, idea untuk memberikan pakej khas itu selepas terserempak dengan seorang penghantar Foodpanda bernama Nazirul yang meluahkan perasaan bahawa pendapatannya kira-kira RM4,000 sebulan tidak mencukupi untuk menyara keluarga.

Tambahan isteri penghantar itu tidak bekerja dan pada masa sama kos sara hidup semakin meningkat.

“Susu dan lampin bayi pun dah mahal, kadang-kadang kena tanggung kos perubatan ahli keluarga, simpanan memang tak ada langsung.

“Lebih menyedihkan lagi, sudah dua bulan beliau tak mampu bayar bil telefon. Ada masa terpaksa pinjam RM200 duit member semata-mata nak bayar bil, memandangkan kegunaan telefon adalah keperluan paling penting bagi seorang rider.

“Sebagai seorang ayah, saya cukup faham akan cabaran yang dihadapinya. Sedar tak sedar dah bersembang hampir 40 minit, tercetus idea untuk melakukan sesuatu bagi membantu komuniti riders kita,” katanya.

Fahmi berkata, peranan penghantar amat penting dalam memudahkan urusan harian rakyat setiap hari dan mereka merupakan tulang belakang industri makanan dan minuman (F&B) serta menjadi barisan hadapan semasa pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan. – MalaysiaGazette