logo mahlamah

TAWAU – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa pemandu e-hailing, Nurman Bakaratu, telah mendaftar masuk ke sebuah hotel di sini pada 13 Januari 2023 dan keluar pada sebelah petang hari yang sama dia dibunuh.

Pengurus hotel berkenaan, Adam Lim Ka Kiet, 30, mengesahkan bahawa Nurman mendaftar masuk ke premis itu berdasarkan salinan cetak borang pendaftaran pas dan invois.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abd Rahman pada hari kelima perbicaraan kes bunuh yang membabitkan lapan tertuduh termasuk bekas Ketua Staf Perisikan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Datuk Mat Zaki Md Zain.

Pada prosiding hari ini, sembilan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan pergerakan seorang lelaki bersama seorang wanita masuk ke sebuah hotel pada tarikh sama turut dimainkan di mahkamah.

Bagaimanapun, Lim, yang juga saksi pendakwaan ke-14 berkata, beliau tidak mengenali individu dalam rakaman CCTV itu.

Kepada soalan peguam Datuk Ansari Abdullah, beliau berkata, lelaki di dalam rakaman CCTV itu dilihat keluar dari hotel berkenaan di antara 6 petang hingga 7 malam.

Di kandang tertuduh ialah enam anggota polis iaitu Rosdi Rastam, 45, Denis Anit, 45, Fabian Rungam, 44, Khairul Azman Bakar, 47, Mohd Azlan Sakaran, 40, dan John Kennedy Sanggah, 44, serta seorang wanita Vivien Fabian, 34.

Mereka didakwa membunuh Nurman di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5, di sini, antara 7.30 malam hingga 11.30 malam pada 13 Januari 2023 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mat Zaki, 59, pula berdepan dua pertuduhan iaitu bersubahat membunuh Nurman mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol bersambung esok. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast