beras SST nikotin rumah terbuka madani LGBTQ nik elin zurina
Ahmad Yahaya

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar sewajarnya mempertahankan pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah mengenai hukum bekerja di bank konvensional.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahaya berkata, Mohd. Na’im juga sepatutnya menjelaskan kedudukan sebenar hukum-hakam agama kepada rakyat.

Menurut beliau, jawapan Luqman mengenai isu tersebut cukup lengkap dan boleh difahami khususnya kekangan seseorang untuk mendapatkan kerja lain.

“Namun, kekangan yang dimaksudkan itu tidaklah sampai menghilangkan hukum asal bekerja di bank yang terlibat dengan aktiviti riba.

“Bukanlah hasrat para mufti menjawab soal hukum sekadar untuk menambah kekeliruan dalam masyarakat kerana yang haram dan halal itu jelas dalam agama,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam, Mohd. Na’im dalam kenyataan media memberitahu, beliau menghormati penjelasan hukum bekerja di bank konvensional yang mengamalkan riba oleh Mufti Wilayah Persekutuan baru-baru ini.

Sebagai penambahbaikan, beliau menyarankan agar disertakan dengan hujah yang konkrit bersama jalan penyelesaian kepada persoalan yang timbul dan ia tidak boleh tergantung supaya tidak timbul kegusaran dalam kalangan masyarakat awam.

Mohd. Naim turut mencadangkan supaya sebarang isu yang bersifat nasional dibawa kepada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dianggotai oleh semua mufti negeri. – MalaysiaGazette