Datuk Seri Yahaya Othman

KANTAN – Seorang pesara di Raub mengalami kerugian RM1.43 juta apabila terpedaya dalam skim pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa yang berusia 70 tahun dijanjikan keuntungan lumayan dalam pelaburan saham setelah dihubungi suspek menerusi  Facebook.

“Kemudian suspek meminta mangsa membuka akaun saham dan mengikuti kelas saham selama  lapan bulan di laman sesawang yang diberikan.

“Mangsa mula membuat pelaburan sebanyak RM20,000 dan memperoleh keuntungan sebanyak RM4,000,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mangsa yang mula mempercayai skim itu menambah modal dengan membuat transaksi sebanyak 19 kali ke lapan akaun bank berlainan sehingga mengalami kerugian RM1,430,810.

Yahaya berkata, modal mangsa yang lebur merupakan hasil simpanan mangsa.

Polis  menasihatkan orang ramai agar membuat semakan dahulu sebelum membuat sebarang pelaburan atas talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

“Jangan mudah terpengaruh dengan Skim Pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang lumayan.

“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima dipautan https://semakmule.rmp. gov.my  terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya. -MalaysiaGazette