Ab Rauf (kiri) dan Armizan (kanan)melihat harga jualan selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jualan Ihsan Rahmah (PJIR) Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) di sebuah pasar raya di Masjid Tanah, di sini hari ini.

MELAKA – Mana-mana peniaga yang didapati melakukan unsur-unsur pencatutan dan menaikkan harga barangan pada kadar melampau susulan kadar baharu tarif air bulan depan akan dikenakan tindakan.

Itu tegas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali.

Menurutnya, kementerian mengalu-alukan aduan daripada pengguna sekiranya berdepan situasi demikian.

“Kita akan menerima sebarang aduan dan meneliti sekiranya terdapat unsur-unsur pencatutan (oleh peniaga) dan kita harap tidak berlaku.

“Sebab (kadar baharu) melibatkan air ini bukanlah secara langsung harga barangan (naik),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Jualan Ihsan Rahmah (PJIR) TMM2024 bersama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di sebuah pasar raya di Masjid Tanah di sini hari ini.

Tegas Armizan, sebarang aduan mengenai pencatutan akan dilakukan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

 

Armizan Mohd Ali

Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin dan Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam satu kenyataan pada 17 Januari lalu berkata, tarif baharu air bagi kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan akan dikuatkuasakan bermula 1 Februari ini, membabitkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, PJIR TMM2024 merupakan antara inisiatif awal yang dirintis agar sekumpulan pemain industri sektor peruncitan meliputi pasar raya dan pasar raya besar di Melaka dapat mewujudkan kerjasama strategik untuk menawarkan program jualan diskaun bulanan.

“PJIR TMM2024 ini akan dilaksanakan secara serentak di seluruh negeri Melaka pada setiap 24 haribulan bermula Januari sehingga Disember.

“Ia melibatkan 11 jenama pasar raya dan pasar raya besar di 58 lokasi premis peruncitan yang menyaksikan 24 barangan ditawarkan diskaun antara 10 hingga 30 peratus,” katanya.

Tambahnya, barangan itu meliputi barangan keperluan dapur dan harian seperti lampin pakai buang bayi, sabun mandi, sabun pencuci pinggan, beras, telur, minyak masak botol dan susu pekat.

“Kita mahu rakyat melihat bahawa TMM2024 bukan sekadar meraikan pelancong atau meraih nikmat ekonomi untuk negeri, malah rakyat tempatan juga mendapat limpahan manfaat.

“KPDN juga akan menganjurkan Program Jelajah Mini KPDN antara lain untuk mempromosi barangan buatan Malaysia yang akan dimasukkan dalam kalendar TMM2024,” katanya. – MalaysiaGazette