KUALA LUMPUR – Kerajaan melanjutkan perjanjian konsesi Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) bagi perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit, bermula dari 2029 hingga 2059.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pelanjutan konsesi selama 30 tahun itu akan membolehkan ERL menentukan kadar tambang berdasarkan pertimbangan pasaran bermula hari ini.
Beliau berkata kerajaan juga tidak akan lagi membayar apa-apa bayaran caj atau fi dari sumber pendapatan Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) kepada pihak ERL.
Buat masa ini, ERL menerima bayaran daripada kutipan PSC berjumlah RM1 bagi setiap penumpang penerbangan domestik dan RM5 bagi setiap penumpang penerbangan antarabangsa yang melalui KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) .
“Kaedah ini dilihat sebagai situasi menang-menang. Pengguna juga dapat menikmati tawaran-tawaran perkhidmatan yang lebih baik daripada pihak ERL … kerajaan tetap komited untuk menggalakkan dan menambah baik perkhidmatan alternatif ke KLIA yang akan mewujudkan persaingan yang sihat.
“Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab ERL untuk sentiasa memastikan pencapaian keseimbangan antara pengoptimuman hasil dan penawaran pilihan perkhidmatan yang terbaik kepada pengguna. ERL perlu memastikan perkhidmatan yang diberikan sentiasa berada di tahap optimum sejajar dengan harga tambang yang dikenakan,” kata Loke.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian lanjutan konsesi itu di sini, hari ini.
Loke berkata lanjutan konsesi yang dibuat lebih awal itu membolehkan ERL merancang dan melaksanakan pelaburan bagi menambah baik kemudahan dan perkhidmatannya.
Justeru, beliau berkata ERL perlu berusaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan bagi menarik lebih ramai penumpang menggunakan kedua-dua perkhidmatan rel yang menghubungkan pusat bandar Kuala Lumpur dan KLIA.
“Lapangan Terbang KLIA dan ERL adalah gambaran pertama yang membentuk imej negara Malaysia kepada pengunjung dari seluruh dunia. ERL memainkan tanggungjawab yang penting sebagai pengendali perkhidmatan keretapi yang begitu istimewa dalam menjaga nama baik negara,” katanya. – BERNAMA