Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memastikan bekalan air yang disalurkan kepada rakyat berkualitiĀ  selaras pengumuman pelarasan kadar tarif airĀ  bagi pengguna kategori domestik di seluruh Semenanjung dan Labuan berkuatkuasa mulai 1 Februari ini.

Aktivis sosial, Shahir Adnan berkata, pelarasan tarif air dilaksanakan susulan operator air di negeri-negeri menghadapi beberapa kekangan dan cabaran dalam menyampaikan perkhidmatan pembekalkan air berkualiti kepada pengguna.

Katanya, antara perkara itu adalah kualiti air tidak terawat tidak memuaskan, kadar air tidak berhasil (NRW) tinggi, lambakan paip usang melebihi 30 tahun, loji rawatan air (LRA) melebihi kapasiti, hutang tertunggak tinggi dan pendapatan yang tidak dapat menampung kos operasi.

“Tarif air di Pahang misalnya tidak disemak sejak 40 tahun lalu sedangkan kos terus meningkat. Tarif air di Terengganu pula tidak disemak sejak 20 tahun lalu.

“Kenaikan tarif diharap dapat menambah baik sistem bekalan air di negeri-negeri terlibat, agar tiada lagi yang terkesan susulan gangguan bekalan akibat paip usang pecah, tekanan air rendah dan kualiti air berkeladak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahir Adnan

Justeru, Shahir berkata, syarikat-syarikat air negeri perlu mempertingkatkan kecekapan operasi dan berusaha untuk menurunkan jumlah
NRW.

Tambahnya, hasil pelarasan tarif perlu digunakan untuk menyelesaikan isu NRW melalui penggunaan teknologi terkini dan penambahbaikan sistem amaran kebocoran. – MalaysiaGazette