Gambar hiasan

IPOH – Seorang peniaga wanita berputih mata selepas wang lebih RM6.2 juta lesap selepas dipercayai ditipu pelaburan emas tidak wujud semalam.

Mangsa, 61, dari Taman Rasi Jaya di sini, dikatakan mula terjerat dalam penipuan itu selepas melihat blog pelaburan di laman sosial Facebook pada 14 Oktober lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa yang tertarik selepas membaca mengenai pelaburan emas telah menekan pautan untuk dihubungkan kepada pengendali di aplikasi WhatsApp.

Katanya, suspek telah memasukkan nombor telefon mangsa ke dalam beberapa kumpulan WhatsApp berbeza untuk tujuan menyertai pelaburan.

“Sejak tempoh itu, mangsa telah memasukkan dana sebanyak 32 kali ke dalam 11 akaun bank berbeza berjumlah RM6,220,000.

“Namun, pada 22 Januari (semalam) apabila dia mahu mengeluarkan wang pelaburan sebanyak RM2.2 juta, suspek tidak membalas mesej dan platform pelaburan itu juga tidak dapat diakses,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Yusri, mangsa tampil membuat laporan polis semalam selepas menyendari mangsa penipuan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast