Anwar Ibrahim
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Anugerah Wira Kastam pada Sambutan Hari Kastam Sedunia ke- 42 Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC), Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 23 JANUARI 2024.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan dirinya tetap dikenakan duti oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) walaupun setelah menjadi Perdana Menteri.

Beliau memberitahu, setiap tahun, seorang sahabatnya yang berbangsa Arab mengirimkan setong minyak zaitun yang dihasilkannya sendiri kepadanya.

Anwar berkata, JKDM mengenakan duti sebanyak RM500 tahun ini terhadap minyak zaitun yang kemudian dihadiahkan kepada rakan-rakan, ahli keluarga dan kakitangannya.

“Saya kata, saya bukan meniaga. Tetapi saya tak mahu lari, saya nak bagi contoh.

“Kalau Perdana Menteri pun terpaksa bayar cukai, yang lain-lain jangan lupa,” katanya ketika berucap merasmikan majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-42 Tahun di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut menyindir pihak tertentu yang lari daripada kewajipan membayar duti terhadap barangan bernilai ratusan juta ringgit yang dibeli mereka.

“Kalau orang lain rasa hebat, beli barang ratus-ratus juta ringgit tak mahu bayar cukai. Saya… minyak zaitun untuk makan sendiri dan keluarga dikenakan cukai dan saya bayar,” jelasnya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri memberi pujian kepada warga JKDM kerana berkhidmat dengan cekap untuk negara. – MalaysiaGazette