Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan lawatan kerja ke ibu pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. Foto SYADILA AMARI, 24 JANUARI 2024.

BANGI – Sokongan terbaharu yang diberikan oleh seorang lagi Ahli Parlimen pembangkang kepada Perdana Menteri menunjukkan kerajaan Madani kini semakin kuat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kini mempunyai sokongan wakil rakyat yang cukup baik apabila memiliki lebih 153 Ahli Parlimen dan ia melebihi jumlah majoriti dua pertiga.

Katanya, lebih ramai yang menyokong Perdana Menteri ketika ini ia adalah satu perkara yang lebih baik.

“Saya fikir lebih ramai, lebih baik (yang menyokong Perdana Menteri).

“Itu hak Ahli Parlimen (beri sokongan) itu secara individu dan kini kerajaan Madani ada 153 dokongan Ahli Parlimen.

“Semakin banyak mendokong PMX (Perdana Menteri) semakin kuat Kerajaan Madani yang ada.

“Jumlah yang ada sekarang melebihi dua pertiga iaitu 153 adalah jumlah cukup baik, dan jika ada usaha untuk mana-mana individu atau tokoh untuk masuk rumah politik melalui tingkap, saya fikir eloklah mereka dikeluarkan melalui tingkap itu juga,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengenai pendirian Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi apabila menyatakan sokongan kepada Anwar hari ini.

Zulkafperi menerusi satu kenyataan memaklumkan memberi sokongan itu tanpa paksaan daripada mana-mana pihak.

Katanya, beliau melakukan itu dengan sepenuh hati untuk kepentingan penduduk di Tanjung Karang.

Zulkafperi menjadi Ahli Parlimen keenam dari pembangkang dan juga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertindak menyokong Anwar.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menjadi wakil rakyat PN kelima daripada Bersatu yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri selepas Zahari Kechik (Jeli), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan). – MalaysiaGazette