NEW YORK – Malaysia menuntut akauntabiliti atas pencabulan jelas Israel ke atas undang-undang antarabangsa dalam tindakannya di Gaza, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Ketiadaan akauntabiliti atas jenayah perang Israel menggugat kesahihan undang-undang antarabangsa dan usaha mengakhiri pendudukan haram Palestin.
Mohamad menyatakan ini di Debat Terbuka Peringkat Menteri di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), berhubung Situasi di Timur Tengah termasuk Isu Palestin, pada Selasa (hari Rabu, waktu Malaysia).
“Dalam mempertahankan undang-undang antarabangsa dan hak-hak orang tertindas, Malaysia, pada 23 Julai 2023, bersama-sama dengan 56 negara lain, mengemukakan pernyataan bertulis untuk ‘Pendapat Penasihat, mengenai akibat undang-undang, pelanggaran berterusan Israel, di wilayah Palestin’ di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
“Malaysia juga akan mengambil bahagian dalam pendengaran awam, pada 19 Feb,” kata Mohamad.
Beliau juga menekankan pendirian Malaysia bahawa tidak sepatutnya berlaku pengecilan wilayah Palestin.
“Setiap usaha untuk merampas tanah mereka, melanggar undang-undang antarabangsa, dan lebih merosakkan, prospek, untuk hidup bersama secara damai,” tambah Mohamad.
Beliau juga menunjukkan ketidakupayaan Majlis Keselamatan untuk memanggil gencatan senjata dengan kegagalan itu sebahagiannya bertanggungjawab untuk apa yang dilihat sebagai lebih seratus hari keganasan di Gaza.
Mohamad menyatakan Malaysia mendapati sukar untuk percaya bahawa Israel telah dibenarkan melakukan pemboman secara rawak – rumah, tempat perlindungan, laluan evakuasi, dan bahkan pusat perubatan menjadi sasaran bom.
“Purata, 246 warga Palestin dibunuh setiap hari, atau 10 pembunuhan setiap jam. Menurut Agensi Bantuan dan Pekerjaan PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA), hingga 1.9 juta orang, atau hampir 85 peratus populasi Gaza dipaksa berpindah.
“Tindakan terancang pembunuhan beramai-ramai yang haram dan tidak bermoral ini, harus membawa kita kepada satu keputusan oleh ahli-ahli Majlis ini. Sudah tiba masanya untuk mengiktiraf, apa yang telah dilakukan oleh Israel, sebagai genosid.
“Dan sudah tiba masanya, untuk menerima Negeri Palestin, sebagai Ahli Penuh Bangsa-Bangsa Bersatu,” kata Mohamad.
Beliau berkata Malaysia menuntut gencatan senjata segera dan mengutuk pemindahan paksa rakyat Palestin, dan akan terus melakukan segala yang perlu mengikut kemampuan dan haknya untuk menamatkan ketidakadilan dan tindakan yang menyalahi undang-undang ini.
Komuniti antarabangsa harus mengutamakan usaha meningkatkan semua kemudahan yang diperlukan bagi rakyat Palestin.
Akses kepada perkhidmatan asas, adalah hak asasi manusia, yang tidak sepatutnya dikompromi. Hukuman kolektif Israel, terhadap seluruh penduduk Gaza, adalah haram, tidak bermoral, dan harus segera dihentikan, katanya.
Israel melancarkan serangan maut di Semenanjung Gaza sejak Oktober lepas, membunuh sekurang-kurangnya 25,490 rakyat Palestin dan mencederakan 63,354 yang lain.
Serangan Israel menyebabkan 85 peratus penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan, manakala 60 peratus infrastruktur wilayah itu rosak atau musnah, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu António Guterres dalam ucapan pembukaanya menekankan penderitaan berpanjangan di Gaza, lebih 100 hari.
Penduduk wilayah itu bergelut dengan kehilangan tempat tinggal dan situasi kemanusiaan yang teruk, memberi kesan kepada 2.2 juta orang yang menghadapi kelaparan dan bekalan makanan tidak menentu, diperburuk lagi oleh penjagaan kesihatan yang tidak memadai dan musim sejuk mencabar.
Guterres menonjolkan ketegangan serantau yang meningkat, dengan menyebut insiden terkini seperti serangan Israel di Lubnan, aktiviti Houthi di Laut Merah, dan tindakan ketenteraan Iran di Syria dan utara Iraq.
Beliau dengan tegas mengkritik penolakan Israel terhadap penyelesaian dua negara, menekankan ia akan menyumbangkan kepada konflik yang berpanjangan dan ketidakstabilan global.
“Pendudukan Israel harus berakhir. Penolakan Israel terhadap penyelesaian dua negara, walaupun dengan rayuan antarabangsa, bukan sahaja tidak dapat diterima tetapi juga secara tidak langsung memanjangkan konflik,” kata Guterres.
Beliau mempersoalkan kebolehlaksanaan penyelesaian satu negara oleh Israel, menyuarakan kebimbangan mengenai kekurangan kebebasan, hak, dan martabat bagi penduduk Palestin dalam kerangka negara itu.
Guterres mengesahkan semula bahawa penyelesaian dua negara kekal sebagai satu-satunya laluan yang boleh dilaksanakan untuk memenuhi aspirasi sah kedua-dua Israel dan Palestin. – BERNAMA
Lat Hj Embong 7 April 2023 at 14:37
Beliau patut diampun kerana trdapat fakta ketidakadilan dlm prbicaraan nya sblum ini… Anwar pun ada Kes jenayah bolih pulak diampun . knp tidak kpd YB Najib dn byk lagi Kes pngampunan kpd pnjenayah di negara merdeka ini…
Jadinya boleh dibebaskan. Tak ada sebab Nk Seksa kan Org Yg Byk Berjasa. .. Aamiin