ALOR GAJAH – Seorang pelajar sekolah berusia 13 tahun dan dua rakannya akan berdepan pertuduhan tiga kes samun dan menyebabkan kecederaan terhadap warga asing di rumah kongsi pada Disember tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketiga-tiga lelaki berusia 13 hingga 27 tahun itu akan didakwa di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama di Mahkamah Alor Gajah di sini hari ini.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek berjaya ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah dan IPD Sik, Kedah sekitar kawasan Simpang Ampat, di sini dan Sik, pada Isnin dan Selasa lalu.
“Risikan dibuat susulan polis menerima laporan tiga kejadian samun terhadap warga Bangladesh di rumah kongsi kebun sayur di Kampung Padang Kambing, Kampung Melekek, Jalan Kebus di sini.
“Kejadian samun dilaporkan berlaku pada 3, 4 dan 20 Disember tahun lalu oleh suspek yang bersenjatakan parang, besi dan batang buluh menyebabkan kesemua mangsa dalam ketiga-tiga kes kerugian wang tunai berjumlah RM8,900 selain ada yang cedera,” katanya dalam satu kenyataan di sini lewat malam tadi.
Menurutnya, hasil siasatan polis mendapati, modus operandi suspek dalam ketiga-tiga kejadian samun menyasarkan warga asing yang tinggal di rumah kongsi dalam kebun sayur ketika mereka sedang tidur.
Seksyen 394 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette