Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menyiasat Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan akuan bersumpah (SD) bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Murad Khalid adalah tidak benar.

Berdasarkan rekod SPRM, Badan Pencegah Rasuah (BPR) ketika itu, telah membuka sebanyak enam kertas siasatan untuk menyiasat Anwar susulan SD Abdul Murad yang dikeluarkan pada 26 Oktober 1999.

Menurut SPRM, siasatan telah dijalankan secara mendalam, menyeluruh dan terperinci dengan bantuan BNM termasuk di dalam dan luar negara seperti United Kingdom (UK) dan Singapura manakala hasil siasatan menunjukkan tiada sebarang kes terhadap Anwar.

“Sehubungan itu, enam kertas siasatan tersebut telah dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara pada 12 Ogos 2002 dan ia telah memutuskan tiada pertuduhan dikenakan kepada mana-mana pihak.

“SPRM ingin menekankan bahawa dakwaan BPR/SPRM tidak menjalankan siasatan terhadap Anwar berhubung SD Abdul Murad adalah tidak benar sama sekali malah perkara tersebut berlaku semasa kepimpinan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr. Mahathir membuat dakwaan tersebut terhadap Perdana Menteri dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, kelmarin.

SD yang dibuat oleh Abdul Murad pada 1999 itu mendakwa Anwar memiliki lebih RM3 bilion dalam 20 akaun bank ketika menjadi Menteri Kewangan pada era pentadbiran Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri keempat. – MalaysiaGazette