KUALA LUMPUR – Polis menahan dua individu di lokasi berasingan kerana dipercayai mencuri kabel di Lorong Awan 1, Kuala Ampang di Selangor.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dua individu terbabit yang merupakan seorang lelaki dan seorang wanita ditahan di lokasi berasingan.
Menurutnya, dalam kejadian 21 Januari lalu, lebih kurang jam 5.15 pagi, ketika bertiga melakukan ronda MPV, anggota polis ternampak sebuah kereta Perodua Alza hitam yang dinaiki tiga lelaki dan seorang wanita di Lorong Awan 1 dalam keadaan mencurigakan.
“Tiga lelaki tersebut melarikan diri manakala wanita asing yang berada di bahagian pemandu kereta tidak sempat melarikan diri dan berjaya ditangkap,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Azam berkata, menerusi pemeriksaan di dalam kenderaan menemukan beberapa gelung kabel berwarna hitam berukuran anggaran 90 meter yang diletakkan di bahagian belakang penumpang dan sebuah pemotong kabel di bahagian bonet kenderaan itu.
Ujarnya, wanita terbabit termasuk rampasan dibawa balik ke Balai Polis Hulu Kelang untuk siasatan.
Mohd Azam berkata, pada hari sama, jam lebih kurang pukul 7.20 malam, anggota dari Balai Polis Hulu Kelang telah melihat suspek lelaki berdekatan Kuil Gudwara Sahib Ampang dan berjaya menangkapnya.
Kedua-dua suspek telah direman selama empat hari sehingga semalam.
Kes disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan membencanakan kabel yang membawa hukuman di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, katanya. – MalaysiaGazette