Anggota Bomba dan Penyelamat membantu penduduk terjejas banjir untuk berpindah ke PPS berhampiran. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya empat jajahan di Kelantan iaitu Gua Musang, Pasir, Puteh, Kuala Krai dan Pasir Mas dijangka dilanda banjir secara berperingkat bermula pukul 10 pagi tadi hingga esok.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan memaklumkan, ramalan awal banjir dikeluarkan susulan amaran hujan berterusan tahap buruk oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).

Katanya, Jajahan Pasir Puteh yang dijangka mengalami banjir adalah di kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer di sekitar Kampung Bukit Awang, Kampung Gong Chokoh, Kampung Gong Sepulih dan Kampung Gong Pasir.

“Di Gua Musang pula ia melibatkan kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer di sekitar Kampung Kesedar Lebir, Felda Aring 5, Kampung Batu Papan 2, Kampung Paloh 3 dan Felda Chiku 3,” menurut kenyataan itu.

Bagi jajahan Kuala Krai, kawasan terlibat adalah di lokasi rendah dalam lingkungan lima kilometer sekitar Kampung Kuala Nal, Kampung Bedal, Kampung Aur Duri, Kampung Batu Lada, Kampung Manek Urai, Kg Mesek, Kampung Temiang, Kampung Manjor, Kampung Budi, Kampung Pasir Jering dan Kampung Kebun Pisang.

Sementara itu, di Pasir Mas pula ia melibatkan kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer sekitar Kampung Bujuk, Kampung Tok Uban, Kampung Chasi dan Kampung Baru.

Menurut kenyataan itu lagi, amaran dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutama di kawasan rendah berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana banjir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast