Para penjawat awam melafazkan ikrar ketika hadir pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto MUHD NA’IM, 01 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Menghapuskan pencen wakil rakyat lebih tepat sekiranya tujuan kerajaan mahu menarik skim berkenaan dalam kalangan penjawat awam baharu disebabkan kekangan kewangan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Dr. Adnan Mat berkata, kebanyakan wakil rakyat berkhidmat sekitar lima tahun sahaja.

Ketika ini ahli politik yang dipilih menjadi wakil rakyat membabitkan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri serta dilantik ke dalam jawatan eksekutif seperti exco, menteri dan timbalan menteri.

“Kumpulan ini bukan sahaja menerima elaun serta peruntukan yang tinggi semasa berkhidmat, malah memiliki pelbagai keistimewaan berbanding penjawat awam yang secara purata berkhidmat lebih 30 tahun.

“Keutamaan kepada kerajaan ketika ini adalah mengkaji bagi kes-kes yang berkhidmat waktu singkat tetapi menikmati faedah saraan yang agak selesa dan bukannya menyasarkan kepada penjawat awam sahaja,” tegasnya.

Adnan berkata, beliau tidak bersetuju kerajaan memansuhkan skim pencen kepada penjawat awam baharu.

Apatah lagi caruman ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilihat tidak membantu kakitangan kerajaan mempunyai simpanan hari tua yang baik selepas persaraan kerana gaji yang rendah.

Jelasnya, ketika ini penjawat awam telah pun dibenarkan membuat pilihan sama ada memilih skim berpencen ataupun caruman KWSP.

Bagaimapun ramai memilih skim berpencen kerana ia dianggap sebagai lebih baik dan menjamin kesejahteraan selepas persaraan.

“Disebabkan itulah kebanyakan penjawat awam lebih memilih skim pencen kerana kerana ia adalah keistimewaan yang terbaik kepada mereka,” katanya dalam kenyataan.

Justeru beliau berpendapat, kerajaan sewajarnya mengadakan sesi libat urus terlebih dahulu dengan pihak-pihak berkepentingan sebelum menetapkan skim caruman KWSP secara mandatori kepada lantikan baharu.

Tegas beliau, sekiranya kerajaan mahu melaksanakan sesuatu perkara perlulah berlandaskan prinsip tidak dikurangkan faedah semasa yang dinikmati oleh penjawat awam ketika ini.

Katanya, kerajaan juga harus memastikan gaji yang diterima kakitangan awam mampu memberi kesejahteraan hidup dan dalam masa yang sama gaji ini mampu memberi simpanan untuk hari persaraan kelak.

Sekiranya kerajaan tetap ingin menamatkan skim pencen, ia hendaklah terpakai hanya kepada lantikan politik, ujar Adnan. – MalaysiaGazette