Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang guru agama semalam kerana disyaki memukul ibu angkatnya sehingga cedera pada 19 Jan lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata, guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain itu ditahan pada 12.30 tengah hari semalam selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat Sungai Sering Ukay Indah di sini, lelaki berusia 28 tahun itu memukul ibu angkatnya berusia 76 tahun dipercayai kerana berang akibat sering meminta duit belanja dapur.

“Pemeriksaan pegawai perubatan di Hospital Ampang mendapati wanita berkenaan yang mengambil lelaki itu sebagai anak angkat sejak lahir mengalami kecederaan pada tisu lembut di kepala dan abdomen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata lelaki yang mempunyai satu rekod jenayah lampau itu direman selama empat hari hingga Ahad ini (28 Jan) dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga. – BERNAMA