Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya, ACP Mohd Azam Ismail.

KUALA LUMPUR – Seorang penganggur ditangkap selepas menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mencuri sekeping cek bernilai RM30,000 di sebuah masjid di Taman Kosas, Ampang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian itu dilaporkan oleh bendahari masjid berkenaan pada 22 Januari lalu.

Pengadu berusia 60 tahun itu dalam laporannya berkata, pada 19 Januari kira-kira jam 2 petang ketika berada di pejabat masjid, dia didatangi seorang lelaki tempatan memperkenalkan dirinya sebagai pegawai SPRM.

Lelaki itu mendakwa terdapat masalah dalam pengurusan akaun masjid dan meminta pengadu mengeluarkan buku cek untuk semakan dan pemeriksaan sebelum suspek beredar.

Tetapi lebih kurang jam 3 petang, pengadu telah menerima panggilan telefon daripada pihak bank memaklumkan terdapat sekeping cek bernilai RM30,000 telah cuba ditunaikan namun telah ditolak.

Pengadu kemudian membuat semakan dan mendapati sekeping cek telah hilang selepas diperiksa oleh suspek.

Lelaki itu kemudian ditahan dan didapati memiliki dua rekod kes jenayah yang tidak dikehendaki manakala ujian air kencing didapati postif dadah.

Suspek kini ditahan reman empat hari sehingga 27 Januari ini untuk disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan iaitu menyamar sebagai penjawat awam yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya. – MalaysiaGazette