Datuk Seri Yahaya Othman

KUANTAN – Dua lelaki menjadi mangsa skim pelaburan tidak wujud menerusi platform Accerx di Temerloh mengalami kerugian RM 458,985.45.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kedua-dua mangsa merupakan penjual barangan elektrik dan pesara bank.

Mereka mula terjebak dengan sindiket itu menerusi laman Facebook.

”Pada bulan September 2023, mangsa seorang peniaga kedai barangan elektrik berumur 47 tahun terpedaya untuk menyertai satu skim pelaburan saham yang dijanjikan keuntungan lumayan melalui laman sosial Facebook.

”Kemudian suspek telah perkenal kepada mangsa mata wang digital menggunakan platform Accerx.

”Mangsa mula membuat pindahan tukaran mata wang digital sebanyak RM3,000 dan melakukan transaksi berikutnya kerana tertarik dengan paparan di Accerx yang menunjukkan keuntungan wang RM20,802,876.08,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Hahaha, mangsa telah melakukan sebanyak 16 kali transaksi keenam akaun bank berlainan sehingga mengalami kerugian RM 383,000 daripada wang simpanannya.

Menggunakan modus operandi yang sama, pada bulan Ogos 2023, mangsa kedua, seorang pesara bank berumur 56 tahun mengalami kerugian wang simpanan berjumlah RM 75,985.45.

”Mangsa mula membuat pindahan tukaran matawang digital sebanyak RM500 dan melakukan transaksi berikutnya kerana tertarik dengan paparan di Accerx yang menunjukkan keuntungan wang RM109,985.45.

”Mangsa telah melakukan sebanyak enam kali transaksi ke enam akaun bank berlainan,” katanya lagi.

Yahaya berkata, kedua-dua mangsa mula menyedari mereka telah menjadi mangsa penipuan pelaburan setelah suspek memaklumkan seseorang telah membuat aduan ke atas nama mangsa di Bahagian Penggubahan Wang Haram dan mangsa dikehendaki mengeluarkan kesemua wang keuntungan.

Mangsa terlebih dahulu diminta untuk membayar satu peratus daripada jumlah keuntungan di mana sekiranya mangsa gagal membuat bayaran, wang keuntungan tersebut akan hilang.

Pihak Polis Kontinjen Pahang menasihatkan orang ramai agar membuat semakan dahulu sebelum membuat sebarang pelaburan atas talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Yahaya menasihati supaya jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang lumayan.

Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima dipautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi. – MalaysiaGazette