Tuesday, December 3, 2024
Home Sukan Heung-Min kagum dengan daya juang Harimau Malaya

Heung-Min kagum dengan daya juang Harimau Malaya

Son Heung-Min (kanan). Foto Facebook Asian Cup 2024.

KUALA LUMPUR – Bintang Totenham Hotspur, Son Heung-Min kagum dengan kegigihan dan kesunggguhan pasukan Malaysia bimbingan Kim Pan Gon sehingga berjaya seri 3-3 dengan juara dua kali Korea Selatan dalam perlawanan terakhir Kumpulan E Piala Asia 2023.

Kapten Korea Selatan itu turut memuji daya juang dan kreativiti dipamerkan Skuad Harimau Malaya yang mampu bangkit dua kali daripada ketinggalan di Stadium Al Janoub di sini untuk membawa pulang satu-satunya mata dalam kejohanan ini.

“Ia satu keputusan yang sukar diterima, tetapi pujian hebat perlu diberikan kepada pasukan Malaysia. Mereka berjuang sehingga saat akhir permainan dan saya kagum dengan bola sepak Malaysia yang kreatif.

“Malaysia melaksanakan tugas mereka dengan hebat, memang menarik untuk menyaksikan perlawanan ini selaku peminat bola sepak.

“Kami kecewa dengan bagaimana kami mengakhiri perlawanan ini tetapi apa yang paling penting kami layak ke pusingan 16 pasukan terbaik dan kami teruskan kemaraan kerana perlawanan penting berlangsung tidak lama lagi, jadi kami perlu bersedia untuk perlawanan besar itu,” katanya yang turut kecewa dengan keputusan perlawanan.

Beliau berkata demikian pada sidang media pemain terbaik perlawanan malam tadi.

Mengulas lanjut, pemain berusia 31 tahun itu berharap prestasi Malaysia akan terus meningkat selepas keputusan perlawanan tadi dan beliau memuji Pan Gon yang membimbing Harimau Malaya.

Dalam perlawanan yang dramatik semalam, Malaysia bankit menyamakan kedudukan dengan Korea Selatan yang dibimbing bekas bintang Jerman Jurgen Klinsmann apabila sepakan pemain gantian Romel Morales menerjah jaring pada masa tambahan yang memasuki 15 minit.

Pemain tengah Jeong Woo-yeong membuka jaringan untuk Korea Selatan menerusi tandukannya pada minit ke-21 sebelum Malaysia mendahului selepas 17minit babak kedua menerusi sepakan Mohamad Faisal Abdul Halim dan sepakan penati yang disempurnakan Aiman Mohd Hanapi.

Bagaimanapun, Korea Selatan menyamakan kedudukan ketika permainan tinggal10 minit masa permainan sebenar menerusi gol sendiri penjaga gawang Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, sebelum mendahului 3-2 menerusi sepakan penalti Son pada masa tambahan.

Dengan keputusan perlawanan ini, Korea Selatan kekal di tangga kedua kumpulan dengan lima mata sementara Malaysia mengakhiri kejohanan ini dengan satu mata dan kepuasan menjaringkan tiga gol semasa menentang sebuah pasukan gergasi Asia.

Bahrain muncul juara kumpulan selepas menundukkan Jordan 1-0 untuk mengumpul enam mata tetapi kekalahan itu tidak menyekat Jordan yang memperoleh empat mata daripada layak ke peringkat kalah mati selaku satu daripada empat pasukan tempat ketiga terbaik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast