KUALA LUMPUR – Program iTEKAD AmBank Islamic memperkukuh komitmennya untuk memperkasakan usahawan mikro, berkembang melangkaui tumpuan awal kepada penerima Asnaf.
Inisiatif ini dibina berdasarkan kejayaan program iTEKAD AmBank Islamic sebelum ini di Selangor dan Johor.
Program terbaharu iTEKAD yang dianjurkan oleh AmBank Islamic dengan kerjasama Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) serta disokong oleh Bank Negara Malaysia menyaksikan penyerahan sumbangan modal benih kepada penerima di Perak yang melibatkan peruntukan sebanyak RM250,000.00.
Program iTEKAD ini adalah inisiatif pembiayaan gabungan yang menyediakan modal benih, pembiayaan mikro, dan peningkatan kemahiran dan latihan berstruktur untuk usahawan mikro berpendapatan rendah.
Keberkesanan program ini akan dipantau oleh STeP, merangkumi aspek penting seperti pertumbuhan perniagaan, ketahanan kewangan, pekerjaan dan peningkatan kemahiran.
Cadangan nilai program ini termasuk memudahkan aktiviti perniagaan, menyediakan sokongan pembiayaan mikro, meningkatkan kemahiran keusahawanan dan meningkatkan keupayaan digital bagi usahawan mikro.
Ketua Pegawai Eksekutif AmBank Islamic, Eqhwan Mokhzanee berkata, pihaknya berbesar hati untuk memperluaskan sokongan kami kepada usahawan mikro, tidak hanya terhad kepada Kumpulan Asnaf.
Program iTEKAD menekankan dedikasi kami untuk mendorong pertumbuhan ekonomi inklusif bagi semua rakyat Malaysia,
merangkumi usahawan mikro Asnaf dan usahawan mikro bukan Muslim.
AmBank Islamic kekal teguh dalam komitmennya untuk mencetus perubahan positif, memacu pembangunan ekonomi tempatan dan menyokong usahawan mikro dalam mencapai kejayaan yang mampan melalui program iTEKAD yang diperluaskan.
Untuk meningkatkan kemahiran keusahawanan dan inisiatif digital bagi perniagaan, AmBank Islamic telah memperuntukkan sejumlah RM100,000 daripada dana Zakatnya.
Di bawah komponen ini, peserta akan didaftarkan dengan DuitNow QR atau mTAP, penyelesaian penerimaan kad sebagai infrastruktur sokongan untuk meningkatkan kapasiti digital mereka dengan menjalani proses pembayaran kutipan yang lancar.
Untuk mTAP, setiap peserta yang diluluskan akan dibiayai sehingga RM2,000 untuk langganan talian percuma 24 bulan dan telefon bimbit percuma di bawah Pakej Promosi Maxis.
Program iTEKAD, yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia pada 2020, sejajar dengan matlamat belanjawan 2024, bertujuan untuk menjana pendapatan mampan untuk usahawan mikro.
Sebagai sebahagian daripada bajet 2024, kerajaan telah memperuntukkan geran padanan RM25 juta untuk program iTEKAD. – MalaysiaGazette