KUALA LUMPUR – Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) hari ini meminta UMNO untuk campur tangan dalam isu kadar upah pengambilan dan penghantaran barang dan makanan.
Timbalan Presidennya, Abdul Hakim Abdul Rani berkata, pendapatan penghantar P-Hailing terjejas akibat pengenalan skim baharu kadar upah pengambilan dan penghantaran barang dan makan sejak 16 Januari lalu.
“Syarikat pengendali perkhidmatan penghantaran P-Hailing perlu mengembalikan semula kadar upah sebanyak RM5 untuk 2 kilometer (km) pertama bagi Lembah Klang dan bandar utama.
“Skim baharu yang diperkenalkan syarikat P-Hailing tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada penghantar menyebabkan penghantar kehilangan RM1 bagi setiap 2 km pertama,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Terdahulu Penghantar menyerahkan Memorandum Permohonan Tuntutan Rakan-rakan Penghantar Syarikat Penyedia Perkhidmatan Barang dan Makanan (P-Hailing) Grab Food Malaysia kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di Menara Dato Onn, di sini.
Turut hadir Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.
Dalam pada itu, Abdul Hakim mempersoalkan tindakan syarikat P-Hailing yang terus mendaftar penghantar baharu sedang ia tidak selari dengan kadar pesanan yang rendah ketika ini.
“Sepatutnya syarikat P-Hailing membekukan pengambil baharu penghantar.
“Mereka kata kadar pesanan terjejas, tapi kenapa masih buka pendaftaran baharu,” katanya.
Ketika ditanya tentang penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM), Abdul Hakim berkata, cadangan itu mampu mengawal kadar upah yang tidak munasabah dan menindas penghantar P-Hailing.
“Apabila saya turun ke bawah bertanyakan kepada komuniti penghantar, rata-rata mereka bersetuju dengan suruhanjaya itu sebagai badan pemantau syarikat pengendali,” katanya lagi. – MalaysiaGazette